Monday, October 19, 2009

Buang jutaan liter susu

TENGAH hari itu, sinar mentari yang memancar ke bumi terasa begitu terik sekali. Di sebuah kawasan lapang yang diliputi rumput-rumput kering di pinggir bandar Brussels, kedengaran suara hiruk-pikuk orang ramai.

Dari jauh, kelihatan ratusan buah traktor bergerak perlahan-lahan menuju ke kawasan lapang tersebut. Suara deruman enjin-enjin traktor yang dipandu oleh sekumpulan peladang tenusu begitu membingitkan telinga.

Sebaik sahaja memasuki kawasan tersebut, kesemua traktor tersebut melakukan sesuatu yang boleh dianggap tidak masuk akal.

Sejurus selepas itu, kawasan lapang yang sebelumnya dipenuhi dengan rumput-rumput kering bertukar menjadi lautan susu yang memutih. Ini membuatkan susu segar yang dicurah dari dalam tangki traktor itu memenuhi hampir setiap penjuru kawasan lapang tersebut.

Menariknya, kesemua traktor tersebut disusun dalam bentuk formasi memanjang ketika para pemandunya sepakat mencurahkan susu dari tangki traktor.

Dari udara, aksi tersebut dilihat seperti satu perkara yang unik kerana pemandu traktor mampu melakukan perkara yang sedemikian rupa.

Mungkin ada yang berasa hairan melihat situasi tersebut. Soalnya, apakah kesemua peladang tenusu itu langsung tidak memikirkan kerugian yang bakal dialami? Atau apakah bekalan susu mereka sudah terlalu banyak sehingga boleh melakukan pembaziran berskala besar itu?

Namun, apa yang dilakukan oleh para peladang itu ada asasnya. Mereka menunjukkan protes dan bantahan kepada pihak tertentu terutama kerajaan yang dituduh tidak mengambil langkah segera untuk memastikan harga susu di pasaran Eropah kekal stabil.

Isu penurunan harga susu di pasaran benua itu dikatakan semakin membimbangkan golongan tersebut.

Mereka mendakwa menjadi antara pihak yang paling terjejas akibat krisis harga susu yang melanda pasaran Eropah sejak beberapa minggu yang lalu.

Rentetan daripada itu, pelbagai demonstrasi dan tunjuk perasaan jalanan telah diadakan di beberapa bandar utama termasuk Brussels yang merupakan ibu negara Belgium.

Tindakan itu dilakukan semata-mata untuk menarik perhatian pihak berkuasa agar mengambil langkah tertentu bagi mengatasi masalah tersebut.

Sebelum protes yang dianggap merugikan itu dibuat (mencurahkan jutaan liter susu segar di satu kawasan lapang), dianggarkan lebih 740 buah traktor turut dipandu memasuki kawasan ibu negara Belgium itu bagi mendesak menteri-menteri pertanian di Kesatuan Eropah (EU) berbuat sesuatu untuk menangani isu tersebut.

PENTERNAK dari Austria membawa patung lembu ketika menyertai demonstrasi di Brussels.

Dua jalan utama dari Belgium ke Perancis telah disekat oleh peladang tenusu untuk mempertahankan industri yang didakwa mereka sedang terancam. Ratusan lori dan traktor memenuhi jalan antara Tournaidi di Belgium dan Lille di Perancis dan antara Mons (Belgium) dan Valencia (Perancis).

Seperti rakan seangkatan di seluruh Eropah, pekerja pertanian di Belgium mendakwa kejatuhan harga susu telah menjejaskan kehidupan mereka.

Malah, sebanyak 20 daripada 27 buah negara EU menggesa lebih banyak perlindungan diberikan kepada petani yang mengusahakan ladang tenusu daripada membiarkan mereka terus terperangkap dalam pasaran dunia yang semakin tidak menentu.

Situasi bertambah teruk apabila kira-kira 1,000 peladang tenusu dari Jerman, Perancis dan beberapa negara EU mengadakan tunjuk perasaan ketika mesyuarat tergempar mengenai masalah penurunan harga susu sedang dijalankan.

Mereka membaling botol dan telur ke arah anggota polis dan membakar tayar serta rumput-rumput kering sekali gus menimbulkan kekecohan.

Dalam satu laporan lain, pihak penganjur demonstrasi mengatakan perhimpunan tersebut turut disertai orang awam menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 2,400 hingga 5,000 orang berhimpun di ibu pejabat bangunan Majlis EU tersebut.

Pihak polis akhirnya terpaksa menutup keseluruhan bangunan dan memasang tali keselamatan sehingga menyebabkan kesesakan jalan berlaku hampir di seluruh kota Brussels sepanjang hari tersebut.

Bagi pihak peladang pula, mereka meminta satu peraturan baru dipinda bagi melindungi mereka daripada kesan ketidakstabilan pasaran bebas yang menjadi punca penurunan harga susu.

Beberapa wakil dari 20 buah negara EU yang menghadiri mesyuarat tergempar itu bersetuju untuk menggesa pelaksanaan satu sistem baru bagi mengawal pasaran sekali pun kuota EU dijangka terjejas menjelang tahun 2015.

Diketuai oleh Perancis dan Jerman, setiap negara mahukan jaminan perlindungan sektor tenusu dalam meningkatkan bekalan dan permintaan susu sedunia walaupun produk murah boleh didapati di merata tempat lain.

"Semua peladang tenusu bimbang kami akan menggubal satu sistem yang mana tiada lagi peraturan yang tinggal," kata Menteri Pertanian Perancis, Bruno Le Maire dalam satu kenyataan akhbar.

SEKUMPULAN lembu tenusu berdiri di hadapan tabung susu yang sengaja diletakkan di kawasan padang ragut.

Kenyataan bahawa Suruhanjaya EU memberi jaminan akan menangani masalah itu melegakan peladang yang ketika ini amat memerlukan wang segera.

"Kami memerlukan wang tambahan untuk mengadakan program peladang. Jadi, kami berharap bantuan kewangan ini diperoleh sekarang untuk membantu mereka," jelas Menteri Pertanian Jerman, Ilse Aigner.

Pesuruhjaya Pertanian EU, Mariann Fischer Boel pula berkata, negara-negara ahli mampu membayar sehingga 15,000 euro (RM75,454) bagi setiap peladang untuk beberapa hari akan datang.

Namun, beliau menegaskan pembayaran tambahan itu hanya boleh dilakukan jika wang tersebut tidak diambil daripada bajet sedia ada EU.

"Saya lebih gembira jika negara-negara ahli memberi kami tambahan 5 bilion euro (RM25 bilion) untuk sektor tenusu. Namun, saya tidak pasti jika menteri kewangan mempunyai pendapat yang sama," ujar Fischer Boel.

Perjanjian yang dimeterai pada November 2008 itu menyasarkan untuk memodenkan Polisi Pertanian Umum supaya kuota susu dapat ditingkatkan menjelang 2015.

Menurut laporan Persidangan Susu Eropah, pengeluar akan dibayar antara 18 hingga 24 sen euro (RM0.90 - RM1.20) sekilogram di mana ia hanya mencapai setengah daripada kos pengeluaran.

Sebanyak 20 daripada 27 negara EU menyuarakan pendapat bahawa mereka menyokong usaha tersebut untuk menstabilkan harga susu, mentega, susu tepung dan keju di pasaran dunia.

Antara negara yang terlibat adalah Austria, Belgium, Bulgaria, Republik Czech, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Hungary, Ireland, Itali, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia dan Sepanyol.

Disebabkan krisis itu, para peladang yang berang telah mengadakan mogok selama beberapa minggu bagi menentang kenaikan kos pengeluaran yang meningkat dua kali ganda daripada harga tenusu di pasaran.

Mereka menggesa EU bertindak mengekalkan kuota bekalan sedia ada dan menaikkan harga susu.

"Kami berada di sini untuk memberitahu mereka supaya membuat keputusan yang tepat," kata peladang tenusu dari Perancis, Antoine Le Marle yang menyertai tunjuk perasaan tersebut.

PENTERNAK lembu Belgium mencurahkan susu di hadapan ibu pejabat Kesatuan Eropah di Brussels.

"Kembalikan sistem asal untuk industri tenusu. Ini penting supaya pengeluar susu terus kekal dalam industri dan menerima bayaran mengikut harga yang berpatutan dengan hasil kerja mereka," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Pertanian Sweden, Eskil Erlandsson yang mempengerusikan mesyuarat tergempar itu berkata, kunci untuk menstabilkan harga susu bukan terletak pada menteri sahaja, tetapi orang tengah yang memasarkan produk peladang dan pasar raya perlu bertindak pantas dalam memastikan harga susu tidak terlalu rendah.

"Ketika peladang tenusu menikmati peningkatan harga sehingga 40 peratus, harga pengguna pula hanya meningkat antara satu hingga dua peratus," ujar Erlandsson kepada pemberita sejurus selepas mesyuarat berakhir.

Sejak beberapa minggu yang lalu juga, ramai peladang Eropah bertindak membuang susu di kawasan padang ternakan mereka sebagai protes untuk mengembalikan harga susu yang munasabah.

Harga susu sebelum ini menjunam serendah 18 sen euro (RM0.90) seliter, sedangkan sebanyak 40 sen euro (RM2) diperlukan untuk menampung harga kos pengeluaran yang sebenar.

Pada tahun ini, EU dijangka membelanjakan tambahan 600 juta euro (RM3 bilion) untuk pasaran termasuk pembayaran rutin awal kepada peladang.

Kesatuan itu juga menafikan dakwaan bahawa mereka gagal melindungi peladang dan menegaskan mereka telah membuat tambahan sumber yang ada sebanyak 4.2 bilion euro (RM21 bilion).

Kesemua 27 negara EU membayar sektor pertanian sebanyak 55 bilion euro (RM277 bilion) setiap tahun bagi pembayaran sokongan, kawalan pasaran, bantuan simpanan, pembangunan desa dan beberapa projek lain.

Sumber : Kosmo!

lynord sign

1 comment:

  1. hmm.... macam mana pulak klu ibu2 yg mogok agar anak mereka tidak disogokkan selain susu mereka? tentu lebih marah penternak2 ini kan? kembalilah ke fitrah manusia utk menyusui anak sendiri...

    ReplyDelete