Friday, July 24, 2009

Perodua lancarkan Viva Elite...

Kandungan tempatan kereta Perodua lebih 80 peratus



SYED Abdull Hafiz (kiri) bersama Pengarah Urusan (Pembuatan) Perodua, Osama Oaki, ketika pelancaran Viva Elite di Kuala Lumpur, semalam.

LEBIH 80 peratus komponen dan peralatan kereta keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Nasional Sdn Bhd (Perodua) kini dikeluarkan di dalam negara dengan nilai pembeliannya mencecah RM3 bilion tahun ini, kata Pengarah Urusannya, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar.

Beliau berkata, penggunaan kandungan tempatan itu meningkat dengan ketara berbanding pada awal operasi syarikat itu kira-kira 15 tahun lalu, iaitu tidak melebihi 40 peratus, menerusi model Kancil.

Angka itu, katanya, amat bermakna buat Perodua kerana ia memberi jaminan kepada ramai pekerja dalam rantaian pengeluarannya termasuk 150 vendor dan mereka dalam industri sokongan.

"Kami mengambil masa tujuh tahun membangunkan Kancil untuk mencapai tahap 80 peratus kandungan tempatan.

"Apabila MyVi diperkenalkan pada Mei 2005, kira-kira 80 peratus komponen dan peralatan sudah menggunakan kandungan tempatan dan penggunaannya terus meningkat kepada 85 peratus selepas ViVa diperkenalkan pada Mei 2007.

"Saya menjangkakan penggunaan kandungan tempatan akan mencecah 90 peratus apabila MPV pertama Perodua diperkenalkan November ini," katanya pada majlis pelancaran Viva Elite di Kuala Lumpur, semalam.


Mengenai Viva Elit, beliau berkata, ia didatangkan dalam tiga varian iaitu Elite (M/T) 989cc, Elite (A/T) 989 cc dan Elite EZi 989cc.

Harga ditawarkan bermula dengan RM37,900 bagi model Elite (M/T); RM40,900 bagi Elite (A/T); manakala RM44,900 untuk Elite EZi dengan lima warna pilihan.


Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment